Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM2.5 juta sebagai dana pinjaman galakan perniagaan atas talian sebagaimana pengumuman dalam Bajet 2016.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, Roslee Daud berkata, langkah itu merupakan antara usaha kerajaan negeri dalam membantu dan meningkatkan pendapatan usahawan ‘online’ (atas talian).
“Dalam membantu meningkatkan jualan usahawan atas talian ini, kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu turut bekerjasama dengan pihak MARA merancang dua karnival jualan dikenali sebagai V-Fest pada tahun ini,” ujarnya ketika menjawab soalan yang dikemukakan Mohd Mahdi Musa (BN-Kota Putera).
Sementara itu Roslee berkata, Majlis Sekretariat Pembangunan Usahawan negeri dengan kerjasama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) turut mengadakan kempen galakan pendaftaran perniagaan atas talian dengan sasaran seramai 300 usahawan atas talian tahun ini.
“Selain itu, kerajaan negeri dengan kerjasama YPU telah mewujudkan portal e-dagang dikenali sebagai Payang.my yang menawarkan perkhidmatan jualan dan pemasaran produk atas talian secara percuma untuk usahawan tempatan,” ujarnya.