Sekolah Kebangsaan Bukit Jejulong menjadi sekolah perintis menjalani proses pembelajaran secara multimedia, i-Kelas di Daerah Marang.
Selain sekolah pertama di Marang, SK Jelujong menjadi antara 17 sekolah di seluruh Terengganu yang mengaplikasikan teknologi itu dalam pembelajaran di kelas.
Pelancarannya disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi Dan Multimedia Negeri, A Latiff Awang, di sekolah itu, hari ini.
Turut hadir, Ketua Sektor Jaminan Kualiti Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Tengku Mohd Yusof Tengku Mansor; Pengarah Unit Pengurusan Maklumat Negeri, Ahmad Azmi Md Salleh dan Pengarah Eksekutif Top IT Industries, Syed Ahmad Anas Syed Omar.
A Latiff berkata, pihaknya berharap pelajar dan guru dapat memanfaatkan proses pembelajaran dan juga pengajaran di kelas secara lebih berkesan dan sistematik selaras dengan perkembangan teknologi maklumat dan dunia tanpa sempadan hari ini.
Katanya, pembelajaran i-kelas juga dapat mengurangkan bebanan guru terutama dalam menyediakan bahan bantu mengajar, selain menyediakan sumber maklumat serta rujukan yang boleh diakses dengan lebih pantas dan berkesan.