SOM Bangunkan Kualiti Peribadi OKU

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata “Special Olympics Malaysia” (SOM) merupakan landasan terbaik dalam usaha menggalak dan membangunkan kualiti peribadi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di negara ini.

“Menerusi kejohanan seperti ini ia bukan sahaja dapat melahirkan generasi sihat dan cergas di kalangan OKU malah mampu mengukuhkan semangat berpasukan serta perpaduan sesama kita,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan Majlis Pembukaan Kejohanan SOM kali ketiga di Stadium Negeri, malam tadi.

Rohani berkata, SOM akan dapat membuka minda dan meningkatkan kesedaran terhadap masyarakat umum berhubung kebolehan serta potensi OKU.

“Ini terbukti dalam Kejohanan World Special Olympics Summer Games di Athens Greece pada tahun 2011 apabila negara berjaya merangkul 24 pingat,” ujarnya.

Beliau memberitahu, kementeriannya sentiasa memberi sokongan dan galakan sepenuhnya kepada apa sahaja acara sukan melibatkan golongan OKU di negara ini.

Katanya menerusi kejohanan itu seramai 72 atlet akan dipilih bagi menggalas cabaran Malaysia pada Kejohanan World Special Olympics Summer Games di Los Angeles pada Julai tahun hadapan.

“Dalam kejohanan di Greece kita berjaya merangkul enam pingat emas, enam perak dan 12 gangsa dan kita yakin mereka mampu meraih lebih banyak pingat dalam kejohanan yang sama pada tahun depan,” katanya.

Sebanyak 1,041 atlet Orang Kelainan Upaya (OKU) masalah pembelajaran seluruh negara memulakan cabaran dalam SOM di Terengganu yang bermula Sabtu lepas.

Dalam kejohanan selama empat hari itu sebanyak enam acara dipertandingkan antaranya ialah bowling, renang dan Bocce.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *