Sukma 2014 : Nur Aisyah Pertahan Emas

Atlet muda berbasikal Terengganu, Nur Aisyah Mohamad Zubir berjaya mempertahankan pingat emas yang diraih pelumba seniornya, Nurul Suhada Zainal di Sukma Pahang dua tahun lalu apabila mencatatkan masa terpantas dalam acara ujian masa individu wanita di Lebuhraya Changlun-Kuala Perlis, semalam.

Nur Aisyah menamatkan perlumbaan sejauh 33.4 kilometer itu dengan catatan masa terpantas 53 minit, 04.314 saat sekaligus meraih pingat emas setelah menewaskan atlet dari Pahang, Nurul Nadia Mohamad Fauzi (54:56.921s)untuk pingat perak dan gangsa menjadi milik pelumba Kedah Siti Fatimah Ismail (55:04.720s).

Sementara itu, atlet lelaki Terengganu, Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff sekadar meraih perak apabila  mencatatkan masa 55:51.608s ketinggalan 35.909s di belakang  pelumba dari Pahang, Ahmad Fahmi Farhan yang mencatatkan masa terpantas 55:15.699s untuk pingat emas.

Sementara itu, Skuad Terengganu juga berjaya mencuri tumpuan di gelanggang persilatan apabila atlet  kategori solo bebas lelaki Mohd Faiz Ngah  dan wanitanya Nor Aqila Noryamal meraih emas dalam acara akhir silat seni yang menutup tirainya di Kompleks Sukan Negeri, malam kelmarin.

Selain dua pingat emas, skuad pencak silat turut menyumbangkan dua lagi pingat perak dalam acara Tempur Ganda lelaki melalui gandingan,Mohd Adam Zakaria dan Muhammad Suhaimi Tengah  serta trio, Fatin Fazliyana Marzuki,Nik Nur Dalila M Suhaimi  dan Nur Hidayah Ismail menerusi acara Jurus Wajib Regu.

Manakala pingat gangsa  pula  disumbangkan oleh Farah Aini Safie dalam acara Jurus Tunggal baku dalam enam acara akhir yang dipertandingkan malam kelmarin.

Ketua Jurulatihnya, Shahrul Fahmi berkata, kutipan dua pingat emas itu telah melepasi sasaran awal yang diletakkan dalam acara silat seni dengan sandaran satu emas dan dua perak.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *