Sukma 2014 : Razif Suntik Semangat Atlet Terengganu

Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman hadir memberi penghargaan kepada atlet kanu serta suntikan semangat kepada atlet hoki wanita Terengganu di Koma Laut, Kuala Perlis, Perlis malam ini. Foto oleh Harish Fadzillah.

Kesudian Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman melawat skuad hoki wanita Terengganu ke Sukan Malaysia (Sukma) di Perlis ternyata menyuntik semangat pemain untuk mencipta kejayaan.

Kehadiran Ahmad Razif yang juga merupakan ‘bapa angkat’ skuad Hoki Wanita ke majlis makan malam di Koma Laut, Kuala Perlis mengurangkan tekanan dan debaran pemain bagi menghadapi temasya sukan terbesar negara itu.

Beliau yang ditemai isteri, To’ Puan Halina Zakaria banyak memberi nasihat dan pesanan bermakna supaya bersikap tenang dalam apa jua keadaan.

Katanya, semua pemain harus memberi lebih banyak penumpuan kepada perlawanan dan menjaga disiplin diri agar tidak menghadapi masalah pada perlawanan yang bakal ditempuhi.

“Apa yang saya difahamkan, semua persiapan telah dilakukan dan semuanya berjalan lancar. Jadi, saya berharap semua pemain dapat memberi persembahan terbaik dan mencipta kegemilangan untuk Terengganu.

“Walaupun insentif kemenangan yang akan diberikan kerajaan negeri begitu lumayan berbanding negeri-negeri lain, bermainlah dengan penuh semangat kesukanan. Yang penting semangat sukan, semangat untuk menang,” katanya.

 

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB. Rozi Mamat dan Ketua Kontingen, YB. Mohd Mahdi Musa.

Turut serta dalam program santai itu, atlet kanu dan silat.

Tambah Ahmad Razif, kejayaan yang dicapai kem Terengganu setakat ini mampu menguatkan semangat untuk mencapai sasaran sebagai juara Sukma 2014.

“Namun begitu, atlet jangan rasa terlalu yakin, mesti berhati-hati dan fokus kepada pertandingan.

“Saya juga berbangga dengan kehadiran dan komitmen wakil-wakil rakyat selaku ‘bapa angkat’ serta jabatan-jabatan angkat yang turun ke Perlis memberi sokongan padu,” ujarnya.

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *