Terengganu Buat Rayuan Kuota Haji

Terengganu bercadang membuat rayuan kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) berhubung kuota haji yang akan diberikan kepada negeri itu bagi musim haji tahun ini.

Menteri Besar,  Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata, sehingga ini kerajaan negeri masih menunggu keputusan kuota haji yang akan diberikan menerusi JPM itu.

“Kerajaan negeri tiada masalah untuk menghantar kakitangan kita bagi menunaikan fardu haji. Kita akan teruskan program menghantar kakitangan kerajaan, imam, bilal serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menunaikan fardu haji seperti biasa.

“Biasanya setiap tahun Terengganu hantar 300 orang menunaikan fardu haji. Bagaimanapun sekarang kuotanya sangat kritikal dan tahun lepas pun kita tidak mendapat kuota penuh,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian sumbangan berbuka puasa dan moreh kepada 52 buah masjid dan 132 buah surau di seluruh Parlimen Kuala Nerus, di Quinara Al-Safir Resort, Tok Jembal, Kuala Terengganu, semalam.

Sehubungan itu, Ahmad Razif akan menghubungi JPM bagi membolehkan kerajaan negeri menghantar kakitangannya menunaikan fardu haji tahun ini mengikut kuota yang dikehendaki negeri.

Sementara itu, Menteri Besar berkata, sumbangan berbuka puasa seperti kurma, air zam zam, teh, kopi, biskut, gula dan sirap bagi kegunaan harian masjid dan surau sepanjang bulan Ramadan ini.

 

 

“Pada masa yang sama, kita juga menggalakkan sumbangan dari orang ramai kepada masjid dan surau sempana bulan Ramadan kerana bersedakah dan memberi sumbangan itu adalah amalan terpuji,” katanya.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *