Terengganu Negeri Pertama Perkenal Sistem Barter Kitar Semula

By Anita

Terengganu menjadi negeri pertama yang memperkenalkan pusat pertukaran dan pembelian barangan kitar semula atau berkonsepkan sistem barter bagi menggalakkan masyarakat mengurangkan penggunaan bekas makanan seperti polistirena, kertas pembalut dan plastik.

Ketua Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA), Dato’ Ab. Rahim Md. Noor berkata, konsep sistem barter itu memerlukan orang awam membawa barangan kitar semula ke pusat-pusat yang disediakan dan kemudian ditukar dengan barangan yang telah ditetapkan seperti bekas makanan, minuman dan beg kitar semula.

“Ini kerana bahan-bahan tersebut (polistirena, kertas pembalut dan plastik) tidak boleh dikitar semula dan meningkatkan jumlah sampah di tapak pelupusan sampah selain turut mencemarkan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir dalam majlis Pelancaran Pusat Pertukaran dan Pembelian Barangan Kitar Semula Negeri Terengganu oleh Datuk Bandar Kuala Terengganu, Dato’ Adzlan Mohd. Dagang di Taman Shahbandar, kelmarin.

Mengulas lanjut katanya, pertukaran wang tunai yang diperkenalkan sebelum ini masih diteruskan.

Ab. Rahim menambah, pusat pertukaran tersebut akan berada di Taman Shahbandar sehingga 26 Julai ini sebelum ditempatkan di kawasan pasar tani dan pasar malam di semua daerah.

Katanya, pada tahun lalu, PPSPPA Terengganu berjaya mengumpul 312,490 kilogram bahan kitar semula dengan nilai bayaran RM17,847 melalui pelbagai program kitar semula termasuk Drive Thru dan Bank Kitar Semula yang diperkenalkan di sekolah-sekolah.

Sehubungan itu tambah beliau, PPSPPA akan memperluaskan program kitar semula Drive Thru ke seluruh negara sekurang-kurangnya sebuah tempat di setiap negeri sehingga akhir tahun ini bagi membolehkan orang ramai menghantar barangan kitar semula dengan mudah.

“Pada masa ini lebih 15 tempat Drive Thru di wujudkan di seluruh negara yang membabitkan beberapa negeri antaranya Terengganu, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Kelantan dan Perlis.

“Di Terengganu sahaja telah diwujudkan tujuh tempat kitar semula Drive Thru di setiap daerah di negeri itu,” ujarnya.

Menurut beliau, dengan adanya kemudahan itu orang ramai dapat menghantar barangan kitar semula dengan mudah kerana kebanyakan kemudahan itu ditempatkan di kawasan tumpuan ramai seperti pusat beli-belah.

Beliau juga berharap kesedaran mengenai program kitar semula meningkat sekali gus mentransformasikan minda masyarakat agar lebih mementingkan penjagaan kebersihan dan alam sekitar.

“Tahap kesedaran masyarakat mengenai kepentingan kitar semula masih rendah hanya 10 peratus berbanding di negara-negara maju lain sehingga 80 peratus.

“Dengan adanya pelbagai program kitar semula, diharap kemasyarakat mengenai program tersebut dapat ditingkatkan kepada 20 peratus menjelang 2020,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Takwim

July 2020
M T W T F S S
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031  
naahh

Recent Comments

    Archives

    Categories

    Hiburan

    linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram