Terengganu Sedia Timbang Permohonan Lesen Bauksit

Kerajaan negeri bersedia untuk mempertimbangkan permohonan pengusaha bauksit yang mahu  mendapatkan lesen melombong di negeri ini, dengan syarat perusahaan itu tiada kesan mudarat kepada penduduk setempat.

Menteri Besar,  Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pengusaha terlebih dahulu perlu menjelaskan secara terperinci kepada penduduk mengenai kaedah pengeluaran bauksit supaya kegiatan itu kelak tidak mencemarkan alam sekitar dan menimbulkan masalah kepada mereka.

“Memang ada yang memohon lesen melombong bauksit di tanah persendirian dan milik Sime Darby Sdn Bhd, namun kita belum memberi kata putus berhubung perkara itu.

“Masalah ini timbul berikutan banyak berlaku kecurian bauksit dan pencuri ini mengeluarkan bauksit tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sepatutnya. Inilah yang menyebabkan punca kemarahan orang ramai berhubung isu bauksit dan pencemaran yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis menandatangani ikrar integriti korporat (CIP) Terengganu Incorporated Sdn Bhd (TISB) dan 16 anak syarikat, bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di Permai Hotel, Kuala Terengganu, kelmarin.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato’ Seri Mustafar Ali.

Mengulas lanjut, Ahmad Razif berkata kerajaan negeri terpaksa mengeluarkan belanja yang besar bagi menanggung kos gaji lebihan masa anggota penguatkuasa yang bertugas 24 jam untuk memantau serta mencegah kecurian bauksit pada masa ini.

“Selama mana kita dapat menghalang perkara ini (kecurian) daripada terjadi dan adalah lebih baik kita memberi kebenaran bagi penjualan bauksit ketika harganya masih tinggi.

“Jika ia boleh menjadi sumber pendapatan kepada negeri yang juga dapat dinikmati rakyat. Harga bauksit pada masa ini amat tinggi dan negeri jiran, Pahang mampu menjana pendapatan sebanyak RM2 juta sebulan hasil eksport mineral ini,”katanya.

Oleh itu, beliau berkata kerajaan negeri bercadang mengeluarkan lesen kepada mana-mana pihak berminat dan perlulah mematuhi syarat ketat yang ditetapkan bagi mengelak pencemaran dan isu berbangkit.

Menurut beliau lagi, jika pengusaha bauksit didapati melanggar peraturan ditetapkan, lesen mereka boleh ditarik balik serta-merta kerana kerajaan negeri tidak akan berkompromi jika melibatkan isu keselamatan dan keselesaan penduduk.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *