TTB Diperkenalkan Dalam Pentadbiran Negeri

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman memperkenalkan pendekatan baru bagi urusan pentadbiran negeri iaitu Transformasi Terengganu Baru (TTB) yang menjurus kepada  amalan ‘Terengganu terbersih’ dan kerja secara berpasukan dalam segala aspek  urusan pentadbiran negeri.

Katanya, tiga aspek utama yang diberi penekanan dalam TTB itu  ialah tadbir urus yang baik (Good Governance), insklusif dan agama sebagai wadah penyatuan.

“Dalam menghayati urus tadbir yang baik ini kita berharap semua anggota perkhidmatan awam melayan dengan baik pelanggan mereka iaitu semua lapisan rakyat dan jangan menolak harapan mereka terhadap pertolongan dan aduan yang dikemukakan,” kata Menteri Besar.

Ini kerana katanya, kecil bagi kita tetapi besar bagi orang, iaitu bagi kita perkara kecil dan remeh tetapi bagi orang yang mahukan bantuan dan pertolongan ia adalah amat besar nilainya.

“Dalam membuat transformasi pentadbiran kita perlu berhemah dan bijak. Saya telah beritahu pegawai-pegawai saya, jangan membuat sesuatu yang orang memikirkan itu adalah satu tindakan yang tidak bijak.

“Kita perlu bersama-sama menghayati dan memperlihatkan kepada orang ramai bahawa Terengganu ini negeri Darul Iman. Dalam konteks Darul Iman ini, saya terapkan kakitangan dengan konsep TTB, Terengganu Terbersih iaitu mesti melaksanakan pekerjaan secara telus (integriti), berpasukan dan berkhidmat untuk rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Ramah Mesra YAB Menteri Besar bersama warga kerja Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Zubir Embong; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azhar Abdul Hamid serta Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Osman Muda.

Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri juga telah memberi nilai tambah kepada e-aduan terus disalurkan kepada Pusat Transformasi Rakyat Terengganu (PUTRA), di Pejabat Menteri Besar bagi membolehkan aduan rakyat dapat disalurkan dengan lebih mudah dan cepat, selaras dengan pendekatan insklusif yakni rakyat keseluruhannya mempunyai ruang dan peluang terbuka untuk memperolehi perkhidmatan terbaik dan bukannya terhad kepada golongan tertentu sahaja.

Mereka boleh menggunakan apa sahaja akses untuk e-aduan, termasuk telefon, internet dan sebagainya tanpa had.

“Saya mahukan anggota perkhdiamtan awam bersedia untuk mendengar masalah rakyat, sebagai penjawat awam saya berharap kita dapat memberikan perkhidmatan berdasarkan apa yang rakyat mahu bukan yang kita mahu kerana kami semua adalah dipilih oleh rakyat” katanya.

Tambah beliau, sebagai penjawat awam kita perlu sentiasa peka dengan setiap denyut nadi dan hati nurani rakyat agar mereka dapat mengecapi kehidupan yang tenang dengan keadaan potilik yang stabil, ekonomi yang berkembang pesat serta pendidikan yang baik untuk anak-anak.

Sebelum itu, Menteri Besar menjelaskan kenaikan pangkat anggota perkhidmatan awam adalah berdasarkan kepada kekananan, prestasi dan integriti.

Dato’ Ahmad Razif menyatakan untuk masa akan datang pertukaran pegawai mungkin boleh disarankan agar dibuat sekali sahaja setahun iaitu di awal tahun sahaja bagi mengelak masalah berkaitan keluarga pegawai dan kakitangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *