Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato’ Seri Mukhriz Mahathir dianggap sebagai musuh Vateran UMNO Terengganu kerana sanggup bersekongkol dengan parti pembangkang untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak.
Pengerusi Vateran UMNO Terengganu, Dato’ Wan Zakaria Abd Rahman berkata, tindakan Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz untuk menjatuhkan Najib melalui deklarasi rakyat bersama DAP dan PKR adalah usaha jahat dan tidak berpelembagaan.
Kata bekas ADUN Kuala Besut itu, mereka berada dalam keadaan terdesak apabila sanggup berlutut dengan parti pembangkang yang anti Melayu, Islam dan Raja-Raja Melayu untuk menjatuhkan Najib.
“Kami dengan penuh tanggungjawab mengistiharkan mereka sebagai pengkhinat bangsa, agama serta negara dan wajib ditentang.
“Kami ini orang lama, orang tua dalam UMNO. Kami lebih kenal siapa Mahathir dan siapa Najib,” katanya ketika mengadakan sidang media di TH Hotel, Kuala Nerus hari ini.
Wan Zakaria berkata, Vateran UMNO Terengganu yang mempunyai keahlian lebih 30,000 dengan penuh rasa tanggungjawab menyatakan sokongan tanpa berbelah bahagi kepada Najib yang juga Presiden UMNO serta Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman.
“Najib tidak perlu goyah dan ragu walaupun sebesar atom dengan tindak tanduk Mahathir dan kami mahu supaya Najib meneruskan agenda untuk membantu rakyat sesuai dengan slogan Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan.
“Kami Vateran UMNO juga mendesak Mahathir dan kuncu-kuncunya supaya berhenti menghasut rakyat dalam usaha jahat untuk menjatuhkan Najib,” katanya.
Wan Zakaria berkata, Vateran UMNO Terengganu tidak rela, kestabilan dan kemakmuran negara yang dibina atas pengorbanan darah serta air mata penjuang parti dihancurkan kerana marah dan dendam dan bermatlamatkan peribadi.