UCB Peruntuk RM1.5 Juta Biasiswa Kepada 200 Pelajar

A.Latif Awang menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima pada Majlis Anugerah Kualiti UCB sambil diperhatikan Dato’ Dr. Tengku Mahmud Mansor di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa, Kuala Terengganu, malam semalam. Foto oleh Aminuddin Ismail.

Sebagai sebuah institut pengajian tinggi swasta yang berusaha memartabatkan anak yatim dan miskin, Kolej Universiti Bestari (UCB) menawarkan biasisiwa bagi membantu pelajar dari keluarga yang kurang berkemampuan melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Pengerusi UCB, Prof. Dato’ Dr. Tengku Mahmud Mansor berkata, bagi meringankan beban kewangan ibu bapa pelajar, institusi itu memperuntukkan RM1.5 juta untuk membiayai 200 pelajar miskin yang mengikuti pengajian peringkat asasinya tahun ini.

“Tahun ini, kita bagi pengajian percuma selama setahun untuk setiap pelajar peringkat asasi bernilai RM7,500 seorang dengan syarat mereka memperoleh keputusan sekurang-kurangnya lima kredit termasuk Matematik.

“Pelajar yang memenuhi syarat boleh memilih untuk mengikuti pengajian asasi dalam dua bidang yang ditawarkan iaitu Asasi Teknologi Maklumat dan Asasi Pengurusan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Anugerah Kualiti UCB yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, YB. A. Latif Awang di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa, Kuala Terengganu, malam semalam.

“Dengan segala bantuan dan peruntukan yang disediakan, kini tiada sebab mengapa keluarga miskin dan anak yatim tidak boleh menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya.

Menurut Tengku Mahmud, UCB menawarkan kursus berdasarkan kehendak pasaran dan semua kursus diperakui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Katanya, pengambilan bagi kursus asasi bermula bulan ini sehingga Jun. Bagi lepasan SPM yang berminat boleh melayari laman sesawang UCB di www.ucbestari.edu.my atau menghubungi talian 09-6097101.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *