Paya Bunga (PB) Square akan berubah wajah sepenuhnya apabila siap pengubahsuaiannya pada Mac tahun hadapan dan akan dijadikan sebagai One Stop Center kepada penduduk sekitar.
Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), M. Harith Hassan berkata pengubahsuaian PB Square yang terletak di tengah-tengah pusat bandar Kuala Terengganu akan memulakan pengubahsuaian kepada Pusat Transformasi Bandar (UTC) secepat mungkin sebaik mendapat persetujuan harga dari Kementerian Kewangan (MOF).
“Kita sudah dapat kelulusan dari MOF. Dijangkakan kos bagi pengubahsuaian tersebut mencapai lebih kurang RM40 juta.
“UTC ini akan dijadikan One Stop Center dimana ia akan menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada pelanggan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan sebagainya bagi memudahkan rakyat sekitar,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Pameran 50 Tahun PMINT yang dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda di PB Square, Kuala Terengganu, hari ini.