YPPM Sambut Baik Peruntukan RM2.5 Juta

 

Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) menyambut baik keprihatinan kerajaan memperuntukkan RM2.5 juta bagi membantu institusi pondok di negara ini.

Peruntukan itu diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam ucapan perasmian penutup Ijtimak Pondok Malaysia 2016 di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini.

Pengerusi Eksekutif YPPM, Dato’ Dr. Mashitah Ibrahim berkata, peruntukan itu akan digunakan sebaiknya untuk memperkasa dan membantu warga pondok yang ditimpa musibah.

“Kita bersyukur dalam ijtimak kali ini, Perdana Menteri telah mengistiharkan dana atau Tabung Kasih Perdana Menteri.

“Peruntukan sebanyak RM500 ribu dimasukan ke dalam tabung ini sebagai bantuan segera, sekiranya pondok-pondok mengalami sebarang musibah seperti bencana banjir, kebakaran dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai Majlis Penutup Ijtimak Pondok Malaysia 2016 yang disempurnakan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman; Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh dan Naib Canselor UMT,  Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar.Menurut beliau, daripada lebih 400 institusi pondok di negara ini, hanya 112 sahaja yang berdaftar dengan YPPM.

“Kebanyakkan pondok-pondok di negara ini tidak berdaftar. Jadi bila ditimpa musibah sangat sukar untuk disegerakan bantuan. Justeru, dengan pengumuman Perdana Menteri, kita harap dapat gunakan dana ini untuk membantu pondok-pondok yang memerlukan bantuan segera,” ujarnya.

Katanya, pengumuman peruntukan sebanyak RM2 juta dalam bentuk geran yang diisytiharkan Perdana Menteri pula akan membantu YPPM meneruskan kajian mengenai institusi pondok negara ini selain mengoperasikan semula instrumen media sosial milik YPPM.

“Dengan dana yang ada, kita akan bekerjasama dengan universiti tempatan untuk melaksanakan kajian supaya kita tahu jumlah pondok yang belum berdaftar dan sebab-sebabnya. Kita mahu bantu semua pondok tetapi kekangannya adalah disebabkan mereka tidak berdaftar,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *