Yayasan Terengganu memperuntukkan biasiswa dan pinjaman berjumlah kira-kira RM4.27 juta bagi membiayai 56 pelajar mengikuti pengajian di luar negara sepanjang tahun lalu.
Daripada jumlah itu, kira-kira RM1.8 juta diagihkan kepada 29 pelajar perubatan universiti di Indonesia, diikuti kira-kira RM734,000 kepada lima pelajar yang mengikuti pengajian ekonomi dan pentadbiran di United Kingdom (UK), RM350,000 kepada empat pelajar kejuruteraan di Jerman dan kira-kira RM334,000 kepada dua pelajar kejuruteraan di UK.
Sementara perbelanjaan lain termasuk RM206, 000 kepada seorang pelajar pergigian (UK), RM198,000 kepada seorang pelajar perubatan di Amerika Syarikat serta RM144,000 dan RM75,000 kepada masing-masing sembilan pelajar Pengajian Islam dan seorang pelajar pengajian pergigian di Jordan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi Dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib, berkata, peruntukan pada tahun lalu menurun berbanding tahun sebelumnya dengan perbelanjaan kira-kira RM7.34 juta untuk menampung pengajian 58 penuntut di pelbagai kursus pengajian di universiti luar negara.
“Seramai 59 pelajar Terengganu yang sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang Pengajian Islam di Jordan menerima kenaikan kadar pinjaman.
“Tawaran kenaikan kadar pinjaman tersebut adalah hasil dari lawatan kerja Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman ke Timur Tengah, Januari lalu, selepas kejatuhan mata wang Ringgit Malaysia,”katanya.
Ghazali berkata, jika sebelum ini mereka menerima pinjaman sebanyak RM16,000 setahun namun hasil dari lawatan tersebut, pelajar Pengajian Islam di Jordan akan mula menerima RM20,000 setahun.
Tambahnya, kenaikan kadar baru ini tidak melibatkan pelajar bagi program lain kerana kadar sedia ada sudah menyamai atau melebihi dari penaja-penaja utama yang lain.
Dalam pada itu, sejumlah kira-kira RM79.64 juta pembiayaan pinjaman disediakan kepada kepada 2,125 pelajar bagi menyambung pengajian di peringkat ijazah, master dan PhD di institusi pengajian tinggi awam (IPTA),institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan luar negara sepanjang tahun lalu.
Katanya, jumlah itu meningkat pada tahun sebelumnya, apabila merekodkan RM65.75 juta bagi membiayai 2,984 penuntut (2014) dan RM40.62 juta kepada 2,240 orang (2013) serta RM51.92 juta kepada 2,523 orang (2012).