Zoo Mini Tarikan Baharu Pulau Perhentian

Pulau Perhentian bakal mempunyai daya tarikan baharu apabila sebuah zoo mini dijangka memulakan operasi di pulau peranginan tersebut pada tahun depan.

Pengurus Vine Seeds Holdings Sdn Bhd, Amier Abdul Wahab berkata, zoo mini itu akan dibangunkan syarikatnya dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pulau Perhentian di Pulau Perhentian Kecil.

Menurutnya, zoo mini bernilai lebih RM1 juta itu akan dibina di atas tapak seluas 1,115 meter persegi tidak jauh dari pantai dan berjarak kira-kira 500 meter dari perkampungan Pulau Perhentian.

“Kerja-kerja pembersihan kawasan sedang dijalankan pada ketika ini dan zoo mini dijangka akan mula beroperasi pada tahun depan.

“Zoo mini berkenaan akan menempatkan spesies haiwan liar di Pulau Perhentian seperti biawak gergasi, monyet dan beberapa jenis burung yang hanya terdapat di pulau ini seperti merpati emas atau lebih dikenali sebagai burung yuna oleh penduduk tempatan,” katanya.

Amier memaklumkan, spesies burung unik yang sering kelihatan di pulau ini adalah rawa (seakan merpati putih), puchong batu, camar topi hitam dan beberapa spesies lain.

Katanya, biawak air di pulau ini juga unik kerana bersaiz besar seperti biawak komodo di kepulauan Indonesia, iaitu hampir menyamai saiz manusia dewasa.

“Apabila haiwan itu ditempatkan di zoo mini, pasti ia akan menjadi tarikan kerana memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat haiwan-haiwan yang berasal dari pulau ini.

“Idea untuk bina zoo mini ini tercetus ketika saya masih menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), iaitu ketika mengikuti program bakti siswa di perkampungan Pulau Perhentian pada 2013,” katanya.

Tambahnya, JKKK dan penduduk turut dilibatkan dalam projek ini kerana kewujudan zoo mini itu bakal memberi peluang pekerjaan kepada penduduk selain berpeluang menambah pendapatan apabila jumlah kehadiran pelancong meningkat.

Mengenai konsep pembinaan zoo mini, beliau menjelaskan, bangunannya akan diperbuat daripada kayu merbau dan akan mempunyai 30 sangkar dan 50 akuarium untuk menempatkan hidupan marin.

“Lebih menarik adalah projek ini diusahakan oleh tenaga muda yang berkemahiran dalam pelbagai bidang.

“Pada masa sama, kami sedang berurusan dengan pelbagai agensi berkaitan untuk pembinaan zoo mini termasuk Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan),” katanya.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *